Isteri Rentung, Suami Melecur Dalam Kebakaran di Beluran

Anggota polis dan pasukan bomba ketika menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran.

BELURAN: Seorang wanita ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah kedai runcit di Kampung Nangoh, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, suaminya dilaporkan turut cedera selepas melecur pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kebakaran membabitkan sebuah bangunan kedai papan menjual petrol.

Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari premis berkenaan yang menyimpan bahan mudah terbakar, sebelum api merebak dengan pantas ke seluruh bangunan papan berkenaan.

“Mangsa wanita berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia selepas ditemukan rentung di lokasi kejadian.

“Suaminya berusia 60 tahun pula mengalami kecederaan melecur kira-kira 46 peratus pada badan, termasuk tangan dan muka, sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sandakan bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Hasan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) setakat ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pemilik premis perniagaan, khususnya yang menyimpan bahan mudah terbakar, agar sentiasa mematuhi prosedur keselamatan bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *