
KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang awam di mahkamah pada bulan ini.
Dakwaan itu dipercayai susulan pendedahan skandal rasuah melibatkan ADUN Sabah pada tahun lalu, berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika ini SPRM dalam proses tangkapan dan pemakluman kepada suspek untuk menetapkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah.
“Saya ingin menyatakan bahawa ada dua suspek daripada pihak ADUN dan seorang awam yang sedang dalam proses untuk kita jalankan tangkapan dan memaklumkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah.
“Saya tidak akan memaklumkan tarikhnya sehingga proses ini selesai dan saya yakin mereka akan didakwa di mahkamah pada bulan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan berhubung ADUN yang didakwa terlibat dalam skandal yang didedahkan pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pihak SPRM kini sedang mendapatkan tarikh pendakwaan yang akan ditetapkan oleh Mahkamah Rasuah di negeri ini.
“Ia bergantung kepada tarikh yang akan ditetapkan oleh mahkamah kerana Mahkamah Rasuah di Sabah mempunyai jadual tertentu dan kita sedang menunggu pengesahan tarikh daripada pihak mahkamah.
“Mereka kini sedang berada dalam proses pemanggilan untuk rakaman percakapan,” katanya.
Ditanya mengenai ketulenan video melibatkan dakwaan ADUN yang terlibat dalam skandal rasuah tersebut, Azam memaklumkan bahawa siasatan tidak sepenuhnya bergantung kepada bukti daripada video itu.
“Perkara itu saya tidak boleh ulas lanjut kerana ia boleh menjadi subjudis. Sudah tentu bukti akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk dinilai dan dibawa ke mahkamah sekiranya perlu.
“Namun, kami tidak hanya bergantung kepada bukti itu semata-mata, sama ada ia tulen atau tidak, tetapi juga perlu mengambil kira bukti-bukti lain.
“Keterangan ini bukan sekadar daripada audio visual; ia turut bergantung kepada keterangan daripada individu yang terlibat. Mesin mungkin boleh memberi satu keterangan, tetapi kami memerlukan manusia untuk mengesahkan ketulenan kandungan audio tersebut.
“Jadi, perkara ini sangat teknikal dan saya tidak mahu mengulas panjang kerana kes ini sudah pun ada perkembangan. Sekarang, tiga individu akan didakwa,” katanya.
SumbeR: SINAR
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah