
PENAMPANG : Seorang lelaki warga asing maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Pan Borneo, Kampung Kiranau, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.20 malam.
“Mangsa berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita berumur 26 tahun telah hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari arah Inobong menuju ke Kota Kinabalu.
“Kereta tersebut dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang berada di laluan sama,” katanya.
Pemandu wanita berkenaan telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, polis meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa memandu dan tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian di media sosial bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah