GST Belum Sesuai Dilaksanakan Sekarang – PM

Anwar berucap pada Kenduri Rakyat bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut pada Ahad. Foto Bernama

LUMUT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan masih belum bersedia untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika ini kerana ekonomi rakyat belum pulih sepenuhnya.

Menurut beliau, meskipun GST dilihat sebagai sistem percukaian yang lebih teratur dan menyeluruh, pelaksanaannya tidak sesuai pada masa ini kerana ia akan memberi beban kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan miskin dan penganggur.

“Kalau esok ekonomi kita dah meningkat, gaji minimum semua RM4,000 ke atas, ha cukailah GST pun. Sekarang ini belum.

“Saya nak tanya, kalau 6 peratus semua kena bayar, mengapa orang miskin kena bayar? Mengapa orang menganggur pergi makan pun kena bayar?” katanya ketika berucap dalam perasmian penutup Program Madani Rakyat 2025 Perak di Lumut Waterfront di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pelaksanaan program selama tiga hari bermula 13 Jun itu merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai kementerian peneraju dan Kerajaan Negeri Perak selaku tuan rumah dengan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri.

Dalam ucapannya, Anwar turut menempelak segelintir pembangkang yang sering memainkan isu GST sebagai modal politik tanpa memahami kesan sebenar kepada rakyat.

“Kadang ahli Parlimen pembangkang ni kena bagi kursus sikit… dia nak sedap saja kata GST bagus. Kamu fahamkah apa GST? Perkhidmatan cukai menyeluruh, you tax everybody,” katanya.

Jelas Anwar, kerajaan ketika ini memilih untuk meneruskan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih bersasar kerana ia hanya mengenakan cukai kepada barangan tertentu, khususnya barangan import mewah.

Beliau memberi contoh beberapa barangan import seperti avokado, ikan kod, dan buah-buahan yang dikenakan cukai kerana hanya dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.

“Kita cukai avokado. Cod fish… mahal. Bukan macam ikan keli dengan ikan serubuk. Jadi kita cukai barang mahal itu. Orang kaya nak makan, silakan, tetapi bayarlah lebih,” katanya.

Beliau menjelaskan, cukai bukan untuk membebankan rakyat, sebaliknya sebagai sumber penting bagi membiayai keperluan asas dan pembangunan negara seperti kemudahan hospital dan infrastruktur jalan.

Katanya, dalam hal itu, kerajaan sedang berusaha dan sedia menerima sebarang cadangan penambahbaikan bagi memastikan sistem cukai yang dilaksanakan tidak membebankan rakyat.

“Kalau tak cukai, nak ambil wang dari mana nak buat hospital di Manjung? Nak baiki jalan berlubang? Nak bina kapal, beli pesawat pertahanan negara? Semua itu guna duit cukai,” katanya.

Perak merupakan lokasi ketiga bagi penganjuran Program Madani Rakyat tahun ini selepas Tawau dan Johor dengan rekod kehadiran hampir 150,000 pengunjung.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *