JIM Sabah Usir Sembilan PATI Warga China

Sembilan warga China dihantar pulang ke negara asal, semalam. Gambar Ihsan JIM Sabah

KOTA KINABALU : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah menghantar pulang sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China ke negara asal mereka semalam, menerusi kategori pengusiran melalui udara.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata kesemua PATI tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), kerana tinggal lebih masa di negara ini tanpa pas atau permit sah.

“Mereka turut dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Semua telah selesai menjalani hukuman penjara sebelum diusir ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Datuk Sitti Saleha menegaskan bahawa JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas atau kemudahan yang diberikan oleh pihak imigresen.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap majikan dan pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah. Ini termasuk mereka yang melanggar syarat pas atau permit seperti termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan para majikan serta masyarakat agar hanya mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah dan mengikut perundangan yang ditetapkan.

“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PATI di negeri ini,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *