11 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Dalam Dua Operasi Imigresen di Semporna

Pegawai JIM Sabah ketika menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis di Semporna.

SEMPORNA: Seramai 11 pendatang tanpa izin (PTI) diberkas dalam dua operasi penguatkuasaan berasingan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Operasi menerusi Ops Sapu dan Ops Selera dilaksanakan sebagai langkah berterusan JIM Sabah dalam membanteras kehadiran warga asing tanpa dokumen sah di negeri ini.

Menerusi kenyataan JIM Sabah, semalam Ops Sapu dijalankan pada 9 Jun lalu membabitkan seramai 13 pegawai JIM Semporna dengan pemeriksaan dilakukan di dua lokasi berasingan.

“Hasil operasi itu, seramai 12 individu diperiksa dan tiga daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa warganegara China dan seorang lelaki dewasa warganegara Pakistan,” katanya.

Sementara itu, Ops Selera yang dijalankan secara bersepadu bermula 10 hingga 11 Jun pula, katanya melibatkan kekuatan seramai 16 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa JIM Kota Kinabalu, JIM Lahad Datu dan JIM Semporna.

“Operasi tertumpu kepada premis makanan di kawasan tumpuan awam dan hasil pemeriksaan di sebuah premis, seramai sembilan individu diperiksa dengan lapan daripadanya ditahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang wanita dewasa warganegara China, dua lelaki dewasa warganegara Filipina dan lima wanita dewasa warganegara Filipina,” katanya.

Menurutnya, semua tahanan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM Sabah turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau pihak yang didapati bersubahat, melindungi atau menggaji PTI.

“Masyarakat diseru agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *