
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Taman Puri Warisan, Inanam, di sini petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.25 petang itu, mangsa berumur 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditungganginya tersepit di bawah lori lapan tan berkenaan.
Menurut sumber, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tagas, Tuaran selesai bekerja di Kolombong.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada jam 5.30 petang.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan sembilan anggota dari BBP Lintas bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah lori lapan tan dan sebuah motosikal, mangsa didapati tersepit di bawah lori namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah