GRS Tidak Tolak Kemungkinan Bekerjasama Dengan PH Pada PRN-17 Sabah

Masidi

PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), meskipun Barisan Nasional (BN) Sabah sudah menyatakan keengganan untuk bekerjasama dengan gabungan itu.

Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi GRS masih belum diadakan bagi memuktamadkan pendirian gabungan itu, namun dijangka berlangsung sama ada pada bulan ini atau awal bulan depan.

“Namun saya rasa presiden sudah bertemu dengan semua presiden parti komponen dan saya pasti beliau juga sudah bertemu secara tidak rasmi dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Selepas bertemu dan mendapatkan maklum balas daripada semua ahli serta parti komponen, barulah dapat membuat keputusan sama ada akan bergerak secara bersendirian atau bekerjasama,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Cinta Sekolah Saya di sini, semalam.
Masidi memberi reaksi itu ketika ditanya sama ada GRS akan bekerjasama dengan BN dan PH bagi menghadapi PRN-17.

Dalam pada itu, Masidi menyatakan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkali-kali menekankan beliau mahu gabungan PH-GRS untuk menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, idea utama untuk meneruskan kerjasama antara PH dan GRS adalah demi kestabilan.

Beliau turut menjadikan Sarawak sebagai contoh dengan menyatakan bahawa negeri itu menikmati kestabilan politik yang kukuh dan jelas menyumbang kepada keupayaannya untuk memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi.

Sementara itu, ditanya sama ada GRS akan bergerak secara solo sekiranya PH dan BN (yang kini bekerjasama di peringkat Persekutuan) memutuskan untuk bergabung bagi PRN-17, Masidi berkata, situasi itu boleh ditafsir dalam pelbagai cara.

“Pimpinan BN/Umno Sabah berkali-kali menyatakan mereka tidak mahu bekerjasama dengan GRS.

“Itulah hakikat yang agak tidak menyenangkan. Ahli dan pemimpin GRS berkali-kali menyatakan mereka agak selesa dengan PH sementara menunggu peruntukan dan pembahagian kerusi.

“Mereka mendapati agak sukar untuk bekerjasama dengan BN atas sebab-sebab yang dinyatakan banyak kali,” katanya.

SumbeR: HMetro

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *