
KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah.
Pengarah Pilihan Raya Nasional Amanah, Mohd Sani Hamzan, berkata empat kerusi terbabit ialah Tanjung Aru, Karambunai, Lumadan dan Sulabayan, masing-masing dalam Parlimen Putatan, Sepanggar, Sipitang dan Semporna.
Katanya, Amanah Sabah memutuskan keempat-empat kerusi berkenaan berdasarkan penilaian yang sudah dibuat sebelum dibawa untuk rundingan dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah.
“Ini kerusi yang kita sasarkan tetapi kesudahannya nanti tertakluk kepada rundingan dengan kepemimpinan PH dan rakan gabungan kita nanti.
“Tapi, pada dasarnya empat kerusi itulah yang kita hajati untuk ditandingi pada PRN-17 ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Operasi Pilihan Raya Amanah Sabah, di sini, hari ini.
Mengenai soal calon, Mohd Sani berkata keputusan juga akan dibuat kepemimpinan parti berdasarkan senarai yang dicadangkan Amanah Sabah.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu berkata rundingan dengan parti komponen PH mengenai kerusi yang diminta parti itu sudah mencapai antara 70 hingga 80 peratus setakat ini.
“Kita sudah bincang dengan PH dan setakat ini sudah selesai antara 70 peratus hingga 80 peratus. Rundingan akan diteruskan selepas selesai pemilihan PKR nanti.
“Selepas itu, kita akan mula bincang dengan Barisan Nasional (BN) berdasarkan kerjasama BN-PH di bawah Kerajaan Perpaduan yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.
Katanya, walaupun kemungkinan tidak mendapat kerusi yang disasarkan, Amanah Sabah akan akur terhadap ketetapan yang dibuat berdasarkan perbincangan dengan PH dan rakan gabungannya nanti.
“Kita memang bersungguh-sungguh untuk masuk dalam pilihan raya kali ini, tapi bagi kita sebagai satu parti yang juga rakan gabungan besar kepada kerajaan yang ada sekarang, keutamaan kita ialah gabungan kerajaan itu.
“Jadi apapun yang diputuskan akhirnya nanti kita akan ikut panduan yang ditetapkan itu. Kita ada susur-galur yang perlu diikuti, apa ditentukan nanti itulah yang akan kita ikut,” katanya.
SumbeR: Harian Metro
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah