Lebih Baik Kekal Dalam GRS, PBS Dan STAR Diberitahu

Pengerusi GRS Hajiji Noor bersama Jeffrey Kitingan daripada STAR.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) disaran kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sebalik dakwaan wujud desakan keluar daripada komponen itu pada PRN.

Seorang penganalisis politik enggan dinamakan mendakwa, desakan itu datang daripada segelintir ahli parti terbabit kerana mahu bertanding lebih banyak kerusi terutama di kawasan majoriti Kadazandusun Murut (KDM).

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah pula mendedahkan, pihak tertentu dalam PBS dan STAR mahu parti mereka keluar daripada GRS dan bersekutu dengan pihak lain jika mereka tidak memperoleh lebih banyak kerusi KDM.

“Setakat ini, pemimpin mereka belum membuat sebarang kenyataan, tetapi langkah terbaik bagi kedua-dua parti berasaskan KDM ini adalah untuk kekal dalam GRS,” kata Romzi kepada FMT.

PBS dan STAR antara lapan komponen parti dalam GRS selain Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata, GRS mampu memberikan sokongan kewangan diperlukan bagi membantu parti terbabit mengembangkan kehadiran mereka di negeri itu, termasuk di kawasan majoriti KDM.

“Hajiji boleh membantu PBS dan STAR meningkatkan sokongan tempatan terhadap kedua-dua parti.”

Penganalisis lain pula berkata, STAR dan PBS berisiko mencatat keputusan buruk jika keluar memandangkan Gagasan Rakyat pimpinan Hajiji juga mempunyai keanggotaan KDM yang kuat.

Katanya, ada risiko pertandingan banyak penjuru di kerusi KDM, tanpa jaminan bahawa STAR dan PBS dapat membentuk pakatan dengan parti lain.

PBS pimpinan Pemangku Presiden Joachim Gunsalam memiliki tujuh kerusi negeri (Tandek, Matunggong, Tamparuli, Kiulu, Lumadan, Kundasang dan Telupid).

STAR yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan mempunyai enam kerusi (Paginatan, Tambunan, Kiulu, Sook, Tulid dan Liawan).

Dianggarkan sekitar 150,000 ahli Gagasan Rakyat terdiri komuniti KDM, menjadikan persaingan untuk undi etnik itu sebagai satu langkah tidak bijak.

“Dengan meninggalkan gabungan, PBS dan STAR akan bersaing dengan Gagasan Rakyat untuk mendapatkan undi pribumi sekali gus menyebabkan perpecahan undi yang tidak menguntungkan PBS atau STAR, malah merugikan komuniti KDM,” katanya.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia turut bersetuju bahawa PBS dan STAR harus kekal bersama GRS, terutama dengan PRN dijangka berlangsung dalam beberapa bulan lagi.

“Gagasan Rakyat mungkin bersedia berkompromi dalam rundingan pembahagian kerusi dan akan memberikan sokongan kukuh kepada kedua-dua parti,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi sebab penting untuk PBS dan STAR kekal bersama GRS adalah kerana semua parti itu diasaskan di Sabah.

Tempoh DUN Sabah akan tamat pada 11 Nov dan pilihan raya mesti diadakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran kecuali ia dibubarkan lebih awal.

SumbeR: FMT

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *