Gajah Pygmy Tanpa Kepala, Sabah Jejak Pemburu Haram

Gajah pygmy Borneo tersenarai spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997. – Foto Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang mengesan pemburu haram menyasarkan gajah pygmy Borneo susulan kejadian kedua mamalia itu dipenggal kepala di Tawau, baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew, berkata ia merupakan insiden kedua dalam tempoh singkat, menunjukkan kemungkinan wujudnya kegiatan pemburuan haram.

“Jabatan Hidupan Liar Sabah telah melancarkan siasatan segera terhadap insiden itu. Sebarang tindakan kejam dan pemburuan haram terhadap hidupan liar yang dilindungi di Sabah tidak akan dikompromi.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mengenal pasti pelaku tersebut seterusnya didakwa dan dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang sedia ada,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, langkah penguatkuasaan juga telah dipertingkatkan termasuk melaksanakan operasi bersepadu dan sekatan jalan raya bersama agensi keselamatan lain di lokasi utama bagi mencegah aktiviti haram tersebut.

Liew turut menegaskan insiden terbaharu itu menunjukkan terdapat keperluan mendesak kerjasama antara agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan, komuniti tempatan serta orang awam meningkatkan kewaspadaan.

“Kami menyeru semua pihak untuk berkongsi sebarang maklumat yang mungkin boleh membantu siasatan dan terus komited dalam melindungi biodiversiti unik Sabah,” katanya.

Beliau berkata, dengan anggaran populasi gajah pygmy Borneo hanya tinggal 1,500 hingga 2,000 ekor di habitat liar, setiap kehilangan memberi kesan kepada usaha berterusan untuk melindungi dan memulihara spesies terancam itu.

Gajah pygmy Borneo merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan sebarang kesalahan terhadap spesies itu boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda dan penjara.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *