Satu Cedera, Kereta Terbabas Jatuh Gaung Di Jalan Ranau-Tambunan

Pasukan bomba menjalankan operasi membawa naik mangsa yang cedera akibat kereta masuk gaung.

RANAU: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dinaiki bersama empat lagi individu terbabas dan masuk ke dalam gaung sedalam 20 kaki di Kampung Kinarasan, Jalan Ranau-Tambunan, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta terbabas sendiri lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki.

“Terdapat lima mangsa terlibat dan seorang daripadanya mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS, sebelum dihantar ke Hospital Ranau menaiki Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 4.30 petang,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *