
KUNAK: Tiga individu mengalami kecederaan selepas kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Simpang 4, Jalan Lahad Datu-Kunak, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohammad Omarbatha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.59 pagi.
“Seramai lima anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Katanya, dua mangsa yang cedera telah dikeluarkan dari kereta mereka dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Manakala penunggang motosikal yang cedera telah diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.
Menurutnya, maklumat awal mendapati semua mangsa yang terlibat dalam keadaan stabil dan masih diberikan rawatan di hospital.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian untuk memastikan tiada bahaya lain wujud dan operasi ditamatkan pada jam 12.19 tengah hari,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah