Kinabatangan Diisytihar Kawasan Bencana Banjir, Tujuh Kampung Terjejas

Keadaan banjir yang melanda Pangkalan Bukit Garam hari ini menyukarkan usaha pemindahan mangsa oleh pihak berkuasa. Angkatan Pertahanan Awam dan pihak polis berdepan cabaran dalam memindahkan penduduk yang terjejas di pesisir Sungai Kinabatangan, berikutan keengganan segelintir penduduk untuk berpindah. – Foto BERNAMA

KINABATANGAN : Daerah Kinabatangan diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pada pukul 4.45 petang tadi berikutan hujan berterusan dan kenaikan paras air sungai di tahap bahaya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan setakat ini tujuh kampung di kawasan berkenaan terjejas banjir dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam pada 6 petang tadi.

“Kini proses pemindahan mangsa sedang dilaksanakan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan bomba,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bacaan paras air semasa menaik secara perlahan dan pihak Sabah Electricity telah memutuskan bekalan elektrik di keseluruhan lokasi ditenggelami air. – BERNAMA

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *