
KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas 21,456 premis di negeri itu dengan anggaran nilai sitaan lebih RM4.56 juta, sejak 1 Jan hingga 15 Mac lepas.
Pengarahnya Shahril Nizam Shahidin berkata pemeriksaan itu juga telah menghasilkan 430 kes dengan nilai kompaun sebanyak RM80,400 kerana pelbagai kesalahan.
“KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang aduan sama ada melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-aduan http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Shahril Nizam berkata 23 jenis barangan diwartakan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa selama 15 hari berkuat kuasa hari ini hingga 7 April.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengerakkan 196 pegawai penguat kuasa dan 72 pegawai pemantau harga di lokasi strategik seluruh Sabah bagi memantau keberadaan bekalan dan pematuhan serta pemeriksaan di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.
Beliau berkata SHMMP 2025 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pemborong dan peruncit manakala semakan harga boleh dibuat melalui laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my. – BERNAMA
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah