
TAWAU: Seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah ditahan bersama syabu seberat 83.43 gram di kawasan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, di sini, semalam.
Suspek berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi Op Tapis, kira-kira jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata sebelum itu, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan sedang berlegar-legar di kawasan kampung berkenaan.
Katanya, pasukan polis cuba menjalankan pemeriksaan, namun suspek bertindak melarikan diri sambil mencampakkan satu beg silang berwarna hitam.
“Suspek berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dan hasil pemeriksaan ke atas beg silang berkenaan menemukan 15 paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Pemeriksaan lanjut, mendapati dadah berkenaan dianggarkan seberat 83.43 gram dan suspek bersama barang kes dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Jasmin berkata, pihaknya sedang mengesan rangkaian pengedaran dadah ini untuk siasatan lanjut dan menegaskan penyalahgunaan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Kami mengalu-alukan kerjasama dan maklumat orang awam supaya dapat bersama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah