JIM Sabah Hantar Pulang 121 PTI Warga Indonesia Ke Negara Asal

Semua PTI warga Indonesia dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut.

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 121 pendatang tanpa izin (PTI) ke negara asal menerusi Operasi Pemindahan Tahanan Asing, semalam.

Semua PTI warga Indonesia yang berusia lima tahun hingga 69 tahun adalah tahanan dari Depot Imigresen Tawau.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua tahanan PTI dipindahkan ke destinasi asal iaitu Pulau Nunukan, Indonesia menggunakan feri Francis Express.

Katanya, kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.

“Jumlah PTI warga Indonesia yang berjaya dipindahkan ke negara asal iaitu seramai 773 orang.

“Ia menyumbang kepada jumlah keseluruhan tahanan PTI yang berjaya dipindahkan ke negara asal iaitu seramai 2,821 orang sehingga ke hari ini,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, semua PTI berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah.

Katanya, ia dikeluarkan oleh pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan asing ke negara asal.

“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Ia termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti Saleha menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.

Katanya, jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PTI di negara ini.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *