
KENINGAU : Nur Afiqa Amani Muhd Safwan Sajani, pelajar Seni Kulinari Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah berjaya tersenarai sebagai salah seorang daripada 100 Wiki Impact agen pembawa perubahan ataupun changemaker Malaysia untuk tahun 2024 dan sumbangan dia dikategorikan sebagai pemerkasaan belia.
Dia menerima pengiktirafan berikut atas advokasinya dalam meningkatkan kesedaran berkenaan dengan kesihatan mental dan cara menangani kemurungan dan kebimbangan. Senarai individu yang dipilih sebagai Wiki Impact 100 tersebut boleh diakses melalui: https://www.wikiimpact.com/impact100/2024/
Berdasarkan kajian kesihatan mental yang dilaksanakan di sekolahnya pada tahun 2022, Afiqa yang merupakan pembimbing rakan sebaya melancarkan kempen kesedaran kesihatan mental yang dinamakan “It’s Okay” dengan bantuan unit psikologi dan kerjaya kolej itu.
Projek itu yang terdiri daripada beberapa aktiviti seperti terapi seni, tarian dan kembara alam bertujuan untuk mendidik golongan belia langkah-langkah berkesan untuk mengatasi kemurungan dan kebimbangan.
Projek itu telah menerima geran Amal Fund pada awal tahun 2024 untuk disebarluaskan.
Atas usaha dan sumbangannya, Afiqa pernah dijemput menjadi pembicara di sidang kemuncak belia di Manila, Filipina, yang dianjurkan secara bersemuka oleh SEAMEO INNOTECH pada Jun 2023 dan dia juga pernah memjadi ahli panel forum dalam talian China-Southeast Asian Symposium anjuran SEAMEO dan UNESCO pada Disember 2022.
Malah, dia juga pernah membentang projek ini di Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia pada Oktober 2023 dimana dia berkesempatan berjumpa dengan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.
Pada Ogos 2024, dia menerima pengiktirafan World Changer Award daripada SENIA atas usahanya menjadikan projek kesihatan mental ini bersifat inklusif yang membolehkan pelajar berkeperluan khas untuk turut serta.
Pemangku pengarah KV Keningau, Pounsin Kining, mengucapkan tahniah kepada pelajar ini kerana pengiktirafannya sebagai salah seorang agen pembawa perubahan atau changemaker negara ini pada tahun 2024 adalah selari dengan misi KV Keningau untuk melahirkan individu-individu yang membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah