PRN Sabah: PBS Intai Kerusi DUN Melalap Milik Peter Anthony

KOTA KINABALU : Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang mungkin akan dikosongkan antara sasaran Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai salah satu kerusi tambahan parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kali ini.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, setakat ini parti mengekalkan tujuh kerusi milik PBS namun berhasrat untuk menambah jumlah tersebut termasuk DUN Melalap.

“Kami akan mengekalkan tujuh kerusi tersebut dan kami akan berbincang kalau boleh Melalap juga perlu dituntut oleh PBS.

“Namun, sebagai rakan kongsi yang baik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kami perlu berbincang dengan lebih lanjut kerana kami hanya mahukan calon yang boleh menang, itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Sambutan Ulang Tahun PBS ke-40 di Likas pada malam Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika DUN Melalap termasuk antara kerusi yang diintai PBS untuk menambah jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN kali ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, PBS mempunyai banyak senarai kerusi yang disasarkan ketika ini.

“Kami mempunyai banyak senarai sasaran iaitu ada lebih enam kerusi yang disasarkan tetapi kami akan berbincang mengenainya.

“Kami sedang menunggu semua Setiausaha Agung untuk berbincang dan perlu dilakukan secara sama rata sebagai rakan kongsi yang setara,” katanya.

Untuk rekod, PBS ketika ini mempunyai tujuh kerusi yang dimenangi pada PRN16 yang lalu iaitu DUN Matunggong, Tandek, Tamparuli, Kiulu, Lumadan, Kundasang dan Telupid.

Diminta mengulas mengenai situasi KDM ketika ini adakah ia akan memberi kelebihan kepada PBS dan parti lain untuk mendapatkan kerusi Kadazandusunmurut (KDM), Joachim mahu biar rakyat yang tentukannya.

“Saya serahkan kepada rakyat, saya tidak mahu mengulas mengenai parti lain tetapi ia terpulang kepada rakyat kerana mereka tahu apa yang kami perjuangkan.

“PBS sentiasa memperjuangkan hak rakyat Sabah. Jadi, semoga mereka bersama kami,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap merangkap Presiden KDM, Datuk Peter Anthony dimasukkan ke penjara Selasa lalu susulan keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur yang menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan bersalah, hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 berhubung kes memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

SumbeR: SINAR

Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *