TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 24 tahanan warganegara China ke negara asal pada 29 Oktober lalu.
Penghantaran pulang ini melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Tawau dan melalui udara dengan penerbangan secara terus ke Guangzhou melalui Lapangan Terbang Tawau.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, penghantaran pulang membabitkan tahanan berumur antara 31
tahun sehingga 64 tahun menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Tanpa Izin (PTI) bagi kategori Usir melalui udara untuk tahun ini.
“Hukuman yang dikenakan terhadap 24 orang PTI ini adalah berdasarkan proses perundangan negara iaitu seramai 20 orang dikenakan hukuman bayaran kompaun berjumlah RM10,000 seorang dan dipindahkan balik ke negara asal (usir).
“Baki empat tahanan hanya tindakan jabatan iaitu dipindahkan balik ke negara asal sahaja kerana mengambil kira faktor usia PTI yang sudah lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bercakap lanjut beliau berkata, kesemua PTI yang dipindahkan ini melakukan kesalahan mengikut seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
“Ini menjadikan seramai 34 orang tahanan warganegara China dipindahkan sepanjang tahun ini dan statistik keseluruhan pemindahan warga asing yang melibatkan pengangkutan udara sahaja adalah adalah seramai 256 orang,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, berdasarkan rekod sehingga 30 Oktober ini, JIM Sabah berjaya melaksanakan 98 kali penghantaran pulang tahanan depot dari seluruh negeri Sabah melibatkan pemindahan melalui darat, laut dan udara dengan jumlah keseluruhan PTI seramai 6873 orang.
“Jumlah itu termasuklah 4925 orang lelaki dewasa, 1159 orang perempuan dewasa, 450
orang kanak-kanak lelaki dan 339 orang kanak-kanak perempuan.
“Statistik pemindahan pati mengikut warganegara adalah 4805 Filipina, 1855 Indonesia, 88 Pakistan, 39 Vietnam, 34 China 52 bagi lain-lain negara,” katanya.
Tambahnya, kesemua PTI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan juga
adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan.
“Kekerapan program pemindahan tahanan yang dilaksanakan oleh JIM Sabah juga adalah tertakluk dengan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan masing-masing bagi mengelakan tahanan terbabit ditahan lebih lama di depot-depot imigresen,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua majikan yang menggaji pekerja asing untuk memastikan semua pekerja yang masuk mempunyai Pas (PLKS) yang sesuai untuk bekerja di Negeri Sabah.
“Semua individu yang memegang Pas Lawatan Sosial (PLS) bagi tujuan melancong agar tidak menyalahgunakan pas untuk tujuan lain atau tinggal lebih masa dari tempoh yang dibenarkan yang boleh menyebabkan mereka didakwa dan disenarai hitam untuk masuk semula ke Negeri Sabah seterusnya Malaysia sekiranya melanggar syarat-syarat pas yang ditetapkan.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PTI selaras dengan dasar serta perundangan yang berkuatkuasa,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost