RANAU: Pendaki, malim, porter dan kakitangan yang berada di sekitar Summit Trail Gunung Kinabalu dinasihat agar lebih berwaspada sepanjang masa semasa melakukan sebarang aktiviti pendakian gunung ke Panalaban.
Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) dalam satu perkongsian di laman rasmi Facebook memaklumkan beberapa kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dikesan di kawasan ini susulan keadaan cuaca hujan, angin kencang dan berkabus yang berlarutan di Gunung Kinabalu, Taman Kinabalu.
“Terdapat beberapa kejadian di sepanjang Summit Trail Gunung Kinabalu iaitu tanah runtuh di Km 3.8, pokok tumbang di Km 1.6 dan pokok tumbang di Km 0.6.
“Sehubungan dengan itu, semua pendaki, malim, porter dan kakitangan yang berada di sekitar Summit Trail Gunung Kinabalu agar lebih berwaspada sepanjang masa dalam sebarang aktiviti pendakian gunung ke Panalaban,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan tindakan pemantauan keselamatan dan kerja-kerja penyelenggaraan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost