Lelaki Warga Asing Tetak Kenalan Ditahan

Suspek tetak kenalan ditahan polis di rumahnya.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai menyerang seorang lelaki yang juga kenalannya dengan bersenjatakan parang di Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas Tawau, semalam.

Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan mangsa berusia 50 tahun yang cedera akibat ditetak.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak mangsa yang mengatakan bapanya diserang oleh seorang lelaki dikenali.

Katanya, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek berusia 30 tahun, kira-kira jam 12 tengah hari.

“Mangsa dikatakan diserang menggunakan senjata parang ketika mangsa sedang bersarapan di kaki lima rumah mereka.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima tujuh jahitan di lengan kanan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Jasmin berkata, kejadian serangan menggunakan parang itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek terbabit.

“Polis berjaya merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.

“Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *