‘Kalau Basuh, Nanti Tapak Tercabut’

Keadaan kasut pelajar tingkatan satu yang dikongsikan Jumat di TikTok.

KUNAK : “Saya nak tunjuk kepada pelajar lain bahawa ada kawan mereka di sekolah ini walaupun kasutnya koyak dan berlubang, dia masih ada semangat datang ke sekolah. Itu tujuan asal saya muat naik video berkenaan.”

Demikian kata Guru Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah, Jumat Mat Salleh, 35, yang memuat naik hantaran video di TikTok memaparkan seorang pelajar lelaki di sekolah itu yang mamakai kasut dalam keadaan daif hingga menjadi tular.

Jumat berkata, apa yang lebih meruntun hatinya apabila pelajar tingkatan 1 itu juga hanya mempunyai sehelai stoking.

“Macam biasa minggu ini saya guru bertugas dan datang awal untuk sambut pelajar di pintu pagar sekolah. Dari jauh saya nampak seorang pelajar memakai kasut yang sangat kotor. Saya tahan dan tanya, kenapa kasut kotor?

“Dia jawab dengan takut. Katanya kalau cuci nanti tapak kasut jatuh dan tak boleh pakai lagi. Bila saya angkat kasutnya, bukan sahaja tapak itu hilang, malah sudah berlubang. Malah, stoking juga berlubang.

“Apabila saya tanya kenapa tak beli kasut baru? Sambil rasa malu dia menjawab tidak ada duit. Saat itu juga lidah terkelu dan hati ini tersentap. Jadi, saya dan seorang lagi rakan iaitu Cikgu Shihar terus bawa dia pergi ke pekan Kunak untuk beli stoking dan kasut baru,” katanya kepada.

Menurutnya, pelajar yang datang dari keluarga susah itu juga baru dua kali menjejakkan kaki ke ke pekan Kunak.

“Ketika di kedai, dia beritahu kami yang mana itu baru kali kedua menjejakkan kaki di pekan. Lagi luluh hati ini.

“Selepas berbelanja, saya sempat memeluknya sambil menasihatkan supaya belajar bersungguh-sungguh untuk ubah nasib diri dan keluarga. Jika sudah berjaya boleh bantu lebih ramai orang lagi,” katanya.

Menurutnya, video yang tular itu turut mendapat maklum balas pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan.

“Mungkin rezeki pelajar ini, apabila video tular banyak pihak dalam kalangan individu dan pemimpin tempatan cuba membantu. Alhamdulillah, kami di pihak sekolah juga berusaha untuk tengok apa keperluan yang boleh kita tolong untuk anak dan keluarga ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *