Pekerja Pelantar Maut, Kereta Dilanggar Pacuan Empat Roda Di Kota Marudu

Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk tindakan lanjut.

KOTA MARUDU: Seorang pekerja pelantar minyak ‘offshore’ maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan depan SMK Kota Marudu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun yang memandu kereta parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan lanjut mendapati kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 59 tahun dari arah Matunggong menuju ke Kampung Noloton, di sini.

“Setiba di jalan depan SMK Kota Marudu, kenderaan dipandu lelaki terbabit disyaki hilang kawalan lalu masuk ke laluan sebelah kanan dan melanggar kereta mangsa.

“Akibat kemalangan itu, pemandu pacuan empat roda cedera ringan di bahagian kepala manakala pemandu kereta parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut juga mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu pacuan empat roda kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu, namun siasatan masih diteruskan.

“Sampel darah kedua-dua pemandu telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu bagi ujian alkohol dan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Simiun menasihatkan kepada semua pemandu supaya memandu dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *