Tiga Pemandu Mabuk Ditahan Semasa Sekatan Jalan Di Penampang

Sekatan jalan yang dijalankan di Jalan Pintas Penampang, awal pagi tadi.

PENAMPANG: Polis menahan tiga pemandu selepas membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Pintas Penampang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kesemua individu tersebut ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan dibawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

“Sepanjang Op Mabuk dijalankan, pihak polis turut mengeluarkan 13 keping saman atas pelbagai kesalahan dan enam daripadanya tidak memiliki lesen memandu. 

“Operasi kali ini diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad dengan dibantu oleh sembilan anggota polis dan berakhir jam 3.00 pagi.

“Seramai 95 individu dan 83 kenderaan telah diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Katanya, operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan. 

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *