
TAWAU: Seorang lelaki maut selepas mengalami kecederaan parah akibat dihempap gelung besi di sebuah kilang di batu 3 Jalan Apas, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 51 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, pada jam 1.40 petang.
Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat seorang lelaki mengalami kecederaan parah dipercayai akibat dihempap gelung besi.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai KKM di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.19 petang,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost