Penunggang Motosikal Maut Kemalangan Empat Kenderaan Di Jalan Lintas

Keadaan motosikal dinaiki mangsa yang rosak teruk akibat kemalangan.

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Lintas berhampiran kawasan Iramanis, di sini.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah motosikal, kenderaan utiliti sukan (SUV), kompak dan van.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati penunggang motosikal lelaki berusia lingkungan 20-an dari arah Inanam menuju ke arah Bukit Padang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, di lorong tengah motosikal itu bergesel dengan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita menyebabkan motosikal itu terlanggar bahagian belakang sebuah lagi kenderaan.

“Berikutan itu, penunggang motosikal tercampak ke lorong kiri dan terkena bucu kanan bahagian belakang sebuah lagi kenderaan,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Kasim berkata, impak kemalangan menyebabkan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

“Motosikal mangsa mengalami kerosakan remuk pada bahagian hadapan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas. 

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *