
LABUAN: Berpantang maut sebelum ajal. Demikian nasib seorang nelayan yang ditemui selamat, selepas hilang di laut hampir 48 jam ketika keluar memancing ikan di perairan Tanjung Aru, di sini, semalam.
Mangsa, Ramlee Mahroff, 46, ditemukan dalam keadaan terapung menggunakan gelen minyak oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhampiran Pulau Tiga, Kuala Penyu, pada jam 4.18 petang tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros, berkata mangsa ditemukan oleh Bot Kilat 23 milik Maritim Malaysia dalam keadaan terapung menggunakan gelen minyak.
“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tidak berpakaian dan dibawa naik ke dalam bot sebelum mangsa diberikan air dan dipakaikan baju seragam Maritim Malaysia.
“Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Labuan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini, hari ini.
Izwanhadi berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil namun dipercayai kekurangan oksigen dan air.
“Mangsa sudah diberikan air minuman bagi mengimbangkan keadaan bendalir di dalam badan sebelum mendapatkan rawatan lanjut.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang ketika keluar memancing ikan seawal jam 6 pagi semalam.
Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya kira-kira jam 6.30 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Operasi SAR dilakukan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta orang awam.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost