Hampir 10 tahun lalu, projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dilancarkan untuk meningkatkan akses, mobiliti, perhubungan dan ketersambungan melalui rangkaian jalan raya bermutu tinggi, selamat dan selesa di Sabah dan Sarawak.
Antara kesan diharapkan termasuk memangkin pertumbuhan ekonomi penduduk tempatan.
Mengikut perancangan, kerajaan akan menambahbaik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan raya persekutuan di dua negeri itu, membabitkan naik taraf jalan dua lorong sedia ada kepada empat lorong dua hala.
Turut dirancang pembinaan jalan baharu iaitu dua lorong dua hala dari Telok Melano ke Miri di Sarawak sepanjang 786 kilometer (km) manakala Sindumin ke Tawau membabitkan 706km.
Bagi mereka yang biasa memandu terutama di jalan raya di Sabah dan Sarawak, pastinya perkembangan itu melegakan kerana dapat melancarkan pemanduan ditambah dengan ciri-ciri keselesaan dan keselamatan.
Di Sabah contohnya, laluan itu kerap sesak pada musim perayaan atau berlaku kemalangan yang menghalang sepenuhnya laluan.
Projek itu justeru dinanti-nantikan. Namun, setiap perancangan tidak semuanya berjalan lancar. Ketika pelaksanaan fasa 1A LPB di Sarawak menunjukkan perkembangan baik dengan mencatatkan 99%, lain pula kisahnya di Sabah.
Julai lalu, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi memberitahu kemajuan projek fasa 1 LPB di Sabah mencapai tahap 77.41% dengan jangkaan siap selewat-lewatnya pada 2026.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang pada 4 Ogos lalu dilaporkan mengarahkan pembinaan projek lebuh raya di Sabah dipercepatkan.
Komitmen Kementerian Kerja Raya
Mengikut jawapan Kementerian Kerja Raya (KKR), jurang perbezaan kemajuan pembinaan di dua negeri itu antara lain kerana projek LPB Sarawak dimulakan terlebih dahulu pada 2015 diikuti Sabah, setahun kemudiannya.
Selain itu, perubahan kaedah pelaksanaan bagi projek LPB Sabah menyebabkan hanya 15 daripada 35 pakej kerja diteruskan pembinaan manakala baki 20 telah diteliti semula susulan daripada pertukaran terbabit.
“Lantaran itu projek LPB Sabah kini sedang giat dilaksanakan dengan komitmen kerajaan persekutuan dan kerjasama kerajaan Sabah, kata kementerian itu dalam jawapan
Nanta juga memberi komitmen pasukannya akan lebih kerap turun padang membantu kerajaan Sabah memulihkan pakej-pakej kerja bagi Fasa 1A LPB yang dikategorikan bermasalah dan ‘sakit’.
Menurutnya, kelemahan pengurusan projek, koordinasi kerja di tapak antara pemegang taruh yang terlibat dan kelewatan untuk mengatasi sesuatu isu yang mengganggu kelancaran projek itu juga akan diatasi segera.
Berdasarkan kemajuan fasa 1 LPB Sabah yang menelan kos RM10.3 bilion dengan naik taraf laluan sepanjang 336km, empat pakej telah berjaya disiapkan dan digunakan.
Pakej terbabit adalah Donggongon-Papar (Ogos 2022), Kg Lot M ke Baru 32 (18 Nov 2022), Tawau-Semporna (10 Ogos 2023) dan Lahad Datu Bypass (30 Okt 2023).
“11 pakej masih dilaksanakan dengan jangkaan siap keseluruhan pada suku pertama tahun 2026, kata KKR.
Dalam masa sama, projek fasa 1B membabitkan laluan sepanjang 370km dengan kos RM13.9 bilion turut dimulakan. Empat daripada 19 pakej kerja telah mula dibina dengan status 0.4% siap manakala bakinya dalam proses perolehan yang dijangka dimuktamadkan bulan ini.
Potensi Lebuhraya Pan Borneo
Sememangnya potensi LPB jika siap sepenuhnya cukup besar kerana selain menghubungkan bandar utama dan kawasan berpotensi, kemudahan itu akan merancakkan sektor perindustrian serta pelaburan menerusi akses ke pelabuhan, kilang-kilang di kawasan perindustrian dan pusat komersial.
Projek itu juga bakal menjadi pemangkin Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) untuk membantu dua negeri terbabit mencapai status maju.
Tidak ketinggalan aspek pembangunan modal insan dengan mendedahkan kontraktor dan perunding tempatan dalam projek berskala besar sekali gus membangunkan kapasiti golongan profesional dan pekerja mahir serta separa mahir.
Pendek kata, ramai pengguna di Sabah dan Sarawak menantikan projek LPB ini siap sepenuhnya supaya kemudahan jalan raya di negeri itu juga setaraf dengan di Semenanjung Malaysia.
SumbeR: FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili SabahPost.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost