Lelaki Tempatan Edar Air Ketum, Cecair Vape Disyaki Dadah Ditahan

Semua air ketum dan cecair vape disyaki mengandungi dadah dibawa ke IPD Sandakan untuk tindakan lanjut.

SANDAKAN: Taktik seorang lelaki tempatan menyamar sebagai penghantar makanan untuk mengedar air ketum dan cecair vape disyaki mengandungi dadah akhirnya terbongkar selepas ditahan pada Jumaat lalu.

Suspek berusia 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan ketika sedang leka memproses air ketum di rumahnya di Taman Tai Fai Yen, Jalan Utara, di sini, pada jam 12 tengah hari.   

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintenden K. Ramasamy berkata, pihaknya sebelum ini menerima maklumat mengenai aktiviti yang dilakukan oleh suspek dan terus menjalankan operasi.

Katanya, hasil operasi menemukan 88 botol plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi 225.32 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM6,760.

“Selain itu, ditemukan enam bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk ketum dianggarkan seberat 7.85 kilogram bernilai RM2,000 berserta peralatan memproses air ketum.

“Turut ditemukan 227 botol cecair vape pelbagai jenama dan saiz disyaki mengandungi dadah dengan anggaran nilai RM16,470,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menjalankan aktiviti memproses air ketum sejak dua tahun lalu dan pernah ditahan atas kesalahan yang sama.

“Modus operandi suspek ialah memproses dan menjual sendiri air ketum kepada pelanggan tetap dengan menyamar sebagai penghantar makanan bagi mengaburi mata pihak polis.

“Suspek juga mempunyai lima rekod jenayah lampau atas kesalahan Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Semua bahan ketum dan cecair vape yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM25,230 dan boleh digunakan sehingga 5,500 orang pada satu-satu masa.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Ogos depan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Ramasamy berkata, pihaknya dalam tindakan mengesan pembekal-pembekal terlibat dalam aktiviti pengedaran serbuk ketum dan cecair vape yang mengandungi dadah.

“Polis akan terus meningkatkan usaha dalam menjalankan risikan maklumat bagi mengesan seterusnya menumpaskan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *