Lelaki Maut Dalam Nahas Dua Motosikal

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal lain di simpang Pekan Manggatal, Jalan Tuaran, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, mangsa Ambrose Kulis, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari arah Telipok menuju ke Inanam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa berlanggar dengan sebuah motosikal lain ditunggang oleh seorang lelaki berusia 28 tahun yang menuju ke arah Pekan Manggatal.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan motosikal mangsa di laluan lurus melanggar sebuah motosikal lain yang cuba masuk ke jalan susur Manggatal untuk menyeberang jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, akibat kemalangan, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala penunggang motosikal lain cedera di kaki dan mendapat rawatan di Zon Kritikal Hospital Queen Elizabeth (HQE I).

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *