KOTA KINABALU: Sebanyak 63 buah rumah setinggan di sebuah penempatan dalam daerah ini berjaya dirobohkan dalam operasi perobohan rumah setinggan dan Operasi Pendatang Tanpa Izin (PTI) Bersepadu Mega pada petang Sabtu.
Polis Daerah Kota Kinabalu dalam satu kenyataan hari ini berkata, rumah yang dirobohkan itu didapati dibina secara haram dan tidak memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan.
“Perobohan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghapuskan penempatan haram, tetapi untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook.
Tambahnya, pihak mereka juga berjaya menangkap 13 orang pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Filipina, Indonesia dan lain-lain.
“Tangkapan PTI ini akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 51(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka yang ditangkap akan melalui proses saringan dan siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Operasi kali ini turut melibatkan kerjasama dari pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Setiap agensi memainkan peranan penting dalam memastikan operasi ini berjalan dengan lancar dan berkesan,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu lagi, operasi seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha untuk membanteras jenayah, PTI, dadah, dan gejala sosial di Kota Kinabalu.
“Pihak PDRM IPD Kota Kinabalu komited untuk memastikan daerah ini bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sah selain menyeru agar orang ramai memberikan kerjasama dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa,” tegasnya lagi.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost