KOTA KINABALU: Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan, RM16 billion diumumkannya untuk Sabah pada Pesta Kaamatan 31 Mei lepas ialah peruntukan keseluruhan untuk negeri itu bagi tahun ini, bukan hanya untuk pembangunan sahaja.
Beliau berkata, jumlah itu adalah untuk perbelanjaan pelbagai perkara, antaranya pendidikan dan perlindungan sempadan demi keselamatan rakyat dan pembangunan negeri.
Justeru, katanya, dakwaan kononnya beliau menipu tentang peruntukan itu tidak benar sama sekali.
Tidak hanya RM6.6 billion sahaja (peruntukan untuk Sabah seperti didakwa), kerana RM6.6 billion itu hanya peruntukan pembangunan …siapa nak bayar guru, siapa nak baiki jalan dan jaga sempadan … itu semua termasuk dalam RM16 billion. Ada yang kata letak (nombor) satu di depan jadilah RM16 billion, jangan begitu, katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada semua pihak supaya mendapatkan maklumat yang sahih atau terus bertanya kepadanya sebelum mengeluarkan kenyataan. “Kalau mahu jadi kawan, perangai macam kawan.
Mesti ada adab sebagai kawan. Tidak perlu cakap terima kasih kepada kita, hanya hargailah sikit. Kalau tidak cukup kita runding, minta lagi secara baik sebagai kawan, itu tiada masalah, katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Sabah hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Hajiji Noor yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Christina Liew dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin.
Selain itu, majlis itu turut dihadiri Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Ewon Benedick, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Mustapha Sakmud.
Pada 31 Mei, ketika berucap menutup Pesta Kaamatan 2024 di Penampang dekat sini, Anwar memaklumkan sejak menjadi perdana menteri, beliau sentiasa berusaha meningkatkan peruntukan untuk Sabah bagi membantu rakyatnya, iaitu daripada RM12.9 billion pada 2022 kepada RM16 billion tahun ini.
Anwar berkata, tahun lepas pula kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan RM13.9 billion kepada negeri itu, sekali gus membuktikan komitmennya hasil kerjasama erat dengan Hajiji, kerajaan negeri dan rakan kerajaan perpaduan lain.
Saya simpati terutama kesesakan sekolah, rakyat tiada peluang berniaga, anak muda tiada pekerjaan …kita berjuang dari bawah bukan dari kayangan, sampai ke pelusuk kawasan kita nak selesaikan, katanya. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost