BEAUFORT: Dua termasuk warga emas maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 41, Jalan Beaufort – Menumbok di kawasan persimpangan Jalan Kilugus Tangulian, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.27 petang itu, mangsa yang maut iaitu penumpang kereta wanita warga emas berusia 73 tahun dan penunggang motosikal lelaki berusia 23 tahun.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu lori, kereta dan dua motosikal.
Katanya, lori dan kereta bersama tiga penumpang dalam perjalanan ke arah Beaufort menuju ke Menumbok manakala dua motosikal dari arah bertentangan.
“Ketika tiba di persimpangan Jalan Kilugus Tangulian, lori tiba-tiba memperlahankan kenderaan dan cuba masuk ke simpang di sebelah kanan jalan.
“Sebuah kereta yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori lalu terbalik dan melanggar dua motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, tujuh mangsa kemalangan yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Penyu untuk menerima rawatan lanjut.
“Mangsa penunggang motosikal lelaki dan penumpang kereta wanita warga emas disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu. Manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Katanya lagi, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-undang di jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost