KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah semalam menahan reman dua beranak kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran pas lawatan IMM 13 yang didalangi oleh beberapa petugas sebuah agensi penguat kuasa di daerah ini.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos 2024 terhadap dua beranak terbabit telah dikeluarkan oleh Majistret Marilyn Kelvin setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, semalam.
Menurut sumber, suspek pertama yang berusia 50-an dipercayai melakukan perbuatan itu bersama anak perempuannya yang berusia sekitar 30-an dan mereka telah ditahan kira-kira jam 7 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.
“Kedua-dua ibu dan anak ini dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM 13 kepada pelarian dari Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2022 dan ia melibatkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat susulan penahanan itu.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost