Wartawan Berita Sabah July 29, 2024 2 min read
PENAMPANG: Seramai 56 individu diperiksa dan enam termasuk seorang wanita ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ): Op Tapis Khas Narkotik, di sini yang dijalankan mula 26 Julai hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, turut dirampas dadah jenis syabu seberat 111 gram bernilai RM16,650.
Menurutnya, operasi kali ini dikawal sedia oleh Tambalan Ketua Polis Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir bersama 38 pegawai dan anggota polis dari pelbagai eleman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
“Operasi itu dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini dan Putatan dan seramai 56 individu diperiksa dalam beberapa siri serbuan yang dibuat di premis perniagaan serta penginapan.
“Pasukan operasi juga turut memusnahkan satu lokasi yang dipercayai dijadikan sarang penagihan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan kerana memiliki lima peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 111.00 gram dalam simpanannya.
“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.
Selain itu, Sammy berkata pasukan operasi berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita di atas enam kesalahan membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut dan polis mengingatkan kepada masyarakat supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi ‘mata dan telinga’ polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah.
“IPD Penampang sentiasa komited dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah melalui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang khususnya di daerah ini dan Putatan,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost