KENINGAU : Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya menjuarai enam kategori melalui pertandingan kemahiran bidang hospitaliti dan teknologi antara kolej vokasional peringkat zon negeri Sabah dan Labuan yang berlangsung di Keningau dan Labuan dari 19 sehingga 24 Julai 2024.
Para pelajar dari kolej tersebut mendominasi kesemua kategori bidang hospitaliti iaitu memasak, pastri dan kecantikan dan berjaya meraih anugerah dalam kelima-lima bidang teknologi yang mereka sertai dengan menjadi johan bagi tiga kategori iaitu automotif, pemasangan jubin lantai dan dinding serta penurapan bata.
Kolej itu juga berjaya mendapat tempat kedua dan ketiga dalam bidang elektrik dan kimpalan serta dua kategori hospitaliti yang dijuarai. Kolej ini akan mewakili zon Sabah/Labuan ke peringkat kebangsaan dalam keenam-enam bidang yang dimenangi.
Pertandingan ini yang dikenali sebagai KV Skills adalah sebahagian daripada inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memartabatkan pendidikan vokasional melalui pertandingan sebegini yang mengiktiraf kemahiran dan kepakaran pelajar mengikut program vokasional masing-masing.
KV Keningau merupakan tuan rumah untuk kategori hospitaliti yang berlangsung dari 19 sehingga 21 Julai 2024.
Reisha Qistina dari Kolej itu dinobatkan sebagai pemenang kategori memasak manakala Castelina Della yang juga dari KV Keningau berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori yang sama.
KV Keningau menyapu bersih ketiga-tiga tempat teratas dalam kategori pastri apabila Fadzrul Pu’ad berjaya menduduki tempat pertama disusuli oleh Andrew Sading dan Nurul Fithriyani Izwani yang meraih tempat kedua dan ketiga.
Shamsiah Dumandan dari program kosmetologi kolej itu merangkul gelaran juara dalam kategori kecantikan.
Kolej Vokasional Labuan merupakan pengelola bagi kategori teknologi dari 22 sehingga 24 Julai 2024 dan sebanyak sembilan kategori dipertandingkan mengikut jurusan program yang ditawarkan.
Keempat-empat program teknologi KV Keningau telah menghantar peserta dalam lima kategori yang layak disertai.
Aldinus Mijin dan Eleazar Agung Liau masing-masing menjuarai kategori penurapan bata dan pemasangan jubin manakala Nick Thompson berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori automotif.
Wilson Fung Wei Sheng merupakan naib johan dalam kategori elektrik dan Melson Tony melengkapkan kutipan pingat kolej itu dengan kejayaannya mendapat tempat ketiga dalam bidang kimpalan.
Ini merupakan pencapaian terbesar KV Keningau dalam pertandingan KV Skills peringkat zon Sabah/Labuan dengan memenangi 6 kategori dan berjaya mendapat tempat dalam kesemua kategori yang disertai. Secara keseluruhannya, kolej ini berjaya menempa 6 pingat emas (johan), dua pingat perak (naib johan) dan tiga pingat perak (tempat ketiga).
Pengarah KV Keningau, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas semangat dan dedikasi mereka serta mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan sukarelawan yang gigih melatih dan mengurus pasukan kolej itu.
Beliau berasa sangat gembira dan terharu dengan kejayaan kolej itu yang menunjukkan semangat kerjasama dan disiplin warga kolej tersebut yang sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari masa ke semasa.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost