SANDAKAN: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh membabitkan mangsa lelaki dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35, di kawasan semak berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, di sini Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata, tiga individu juga sedang dikesan bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek wanita warga tempatan berumur 22 tahun yang ditahan adalah bekas isteri salah seorang suspek yang masih dicari iaitu Mohd Jasmin Rusman atau nama panggilannya Achok kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Mohd Jasmin, 24, warga Indonesia dan dua lagi warga tempatan masing-masing Mohamad Zulfaizzie Mohd Firdaus, 24, dan lelaki yang hanya dikenali sebagai Komeng 20-an kini giat diburu untuk membantu siasatan,” katanya semasa sidang media di sini.
Semasa ditanya apa hubungan mangsa bersama suspek, Ramasamy berkata mangsa ada berkenalan dengan seorang wanita dan wanita terbabit juga mempunyai seorang lagi rakan iaitu adik kepada salah seorang suspek iaiti Mohd Jasmin.
Katanya, dua lagi suspek lelaki yang diburu adalah rakan kepada Mohd Jasmin.
“Siasatan mendapati, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek, oleh itu mereka berjumpa di Sandakan bagi berbincang dan menyelesaikan masalah terbabit.
“Setakat ini, motif pembunuhan dikaitkan dengan hubungan mangsa dan adik Mohd Jasmin sebelum berlaku perselisihan faham terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya jangka masa kematian mangsa, beliau berkata, berdasarkan maklumat orang hilang yang diterima, mangsa hilang pada jam 4 pagi 21 Julai dan kali terakhir mangsa dijumpai bersama dengan Mohd Jasmin.
Katanya, masa sebenar kematian dan bila mangsa dibunuh belum dapat dipastikan, bagaimanapun mangsa kini sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan dan bedah siasat serta proses pengecaman akan dijalankan pada Sabtu.
“Memandangkan kes ini menarik dan keadaan mayat itu sendiri tidak sempurna, proses bedah siasat akan dijalankan oleh doktor pakar dari Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan berikutan hasil pemeriksaan awal tidak menemukan kesan terbakar pada mangsa bagaimanapun kereta dipercayai milik mangsa yang ditemukan di lokasi kejadian terbakar sepenuhnya.
Katanya, pemeriksaan awal di lokasi bagaimanapun tidak menemukan apa-apa senjata berkaitan kes ini.
“Pasukan Forensik sudah menjalankan siasatan lanjut dan sehingga kini kita belum menemukan sebarang senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa,” katanya.
Terdahulu, Ramasamy memaklumkan pihaknya menerima laporan awal berhubung penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan pada 10.50 pagi 25 Julai lalu.
Susulan itu katanya, sepasukan polis digerakkan ke tempat berkenaan untuk pemeriksaan lanjut kejadian sebelum mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar di kawasan hutan berhampiran namun tiada individu di dalam kenderaan berkenaan.
“Anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi itu dan menemukan mayat kurang sempurna pada kedudukam kira-kira 16 meter dari kenderaan terbabit.
“Hasil siastaan yang dijalankan di lokasi berdasarkan pakaian dan seluar mangsa merujuk kepada satu laporan orang hilang pada Ahad lalu,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost