KENINGAU : Pasukan Seni Kulinari Kolej Vokasional (KV) Keningau. telah berjaya menggondol anugerah johan dalam bidang teknologi makanan kategori murid sekolah di pertandingan Innovation Development Through Educational Activities 2024 (IDEA 24) anjuran Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam, Pulau Pinang, yang berlangsung dari 6 sehingga 7 Julai 2024.
Pasukan ini telah memenangi trofi johan, wang ringgit berjumlah RM 1000, pingat emas dan sijil pencapaian. Mereka terdiri daripada seorang guru, Ibrahim Sa’min, serta tiga pelajar tahun dua berumur 17 tahun iaitu Thiery Christian Thomas, Carl David dan Judd Ryan.
Projek pasukan ini adalah mencipta patty burger yang berkonsepkan masakan masyarakat nyonya dalam usaha memperkenalkan makanan barat dengan unsur budaya tempatan yang mampu membantu memelihara resipe tradisi memandangkan burger adalah pilihan makanan yang popular di kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
Pasukan ini merupakan salah satu daripada 18 penyertaan yang terpilih sebagai finalis bagi pusingan akhir bagi kategori murid sekolah pertandingan ini yang terhad kepada 500 penyertaan sahaja.
Majlis yang berlangsung selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan iaitu YB Adam Adli yang turut melawat gerai pameran serta menyampaikan anugerah kepada para pemenang.
Ketua pasukan pelajar tersebut, Thiery Christian, mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantu terutamanya guru pembimbing mereka yang banyak memberi dorongan dan bantuan kepada mereka.
Pengarah KV Keningau, Nordin bin Akup, berasa gembira dengan pencapaian tersebut kerana kejayaan ini boleh menjadi sumber motivasi kepada para pelajar lain agar sentiasa meneroka idea-idea baru untuk mencipta inovasi berdasarkan bidang vokasional yang mereka pelajari di kolej itu.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost