KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Indonesia dipenjara dua tahun selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini.
Tertuduh, Razlan Yusuf, 49, didakwa menggunakan kad pengenalan berstatus warga negara atas nama individu lain yang disahkan palsu.
Berikutan itu, tertuduh yang memegang pasport Indonesia berdepan pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Lovely Natasha Charles kemudian memerintahkan tertuduh dihukum penjara dua tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 16 Julai 2024 dan dirujuk ke Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan kira-kira jam 3 petang, 16 Julai lalu ketika membuat semakan kad pengenalan di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan UTC Kota Kinabalu.
Tertuduh ditahan selepas disyaki memiliki kad pengenalan bertaraf warganegara bernombor 771127-12-5563 atas nama Mohd Jefri bin Mohd Taib sebagai dokumen pengenalan dirinya.
Semakan dilakukan Bahagian Kad Pengenalan JPN Sabah dalam rekod kad pengenalan kemudian mendapati kad pengenalan yang dimiliki Razlan tiada dalam rekod jabatan itu.
Siasatan mendapati, tertuduh memiliki Pasport Indonesia bernombor C8030359 atas nama Razlan bin Yusuf, iaitu dokumen pengenalan dirinya yang sebenar.
Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana tanpa kuasa yang sah atau sebab yang munasabah memiliki kad pengenalan bertaraf warga negara yang palsu.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Mohd Nadzeri dalam hujahnya, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
Dalam pemberatnya, Mohd Naser berkata tertuduh menggunakan kad pengenalan palsu itu selama 20 tahun selepas mendakwa memperolehinya pada 2004 melalui orang tengah dengan bayaran RM300.
Tertuduh yang bekerja di sebuah stesen minyak di Luyang, dekat sini, tidak diwakili peguam.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost