Lelaki Warga Asing Guna IC Palsu Ketika Buat Pengesahan Dokumen Di JPN

Tertuduh mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu ketika hadir membuat pengesahan dokumen.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu ketika hadir membuat pengesahan dokumen di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini pada 28 Mei lalu.

Tertuduh, Herman Umar, 36, yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.

Majistret Stephanie Sherron Abbie yang mendengar pertuduhan kes itu turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman penjara untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan fakta kes, pada kira-kira jam 3 petang, 28 Mei lalu, Pegawai Penguatkuasa JPN menahan dan menangkap seorang lelaki di Bahagian Kad Pengenalan JPN Kota Kinabalu yang dipercayai memiliki kad pengenalan bernama Herman Bin Umar yang disyaki palsu ketika hadir untuk membuat pengesahan dokumen.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang  boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Mohd Nadzeri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu dalam prosiding berasingan, seorang wanita warga asing juga dipenjara 18 bulan selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan bertaraf warganegara palsu ketika berurusan di Jabatan Insolvensi Cawangan Kota Kinabalu, di sini, pada 2019.

Tertuduh, Haninah Tanis, 48, membuat pengakuan itu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007).

Majistret Stephanie Sherron Abbie yang mendengar pertuduhan itu kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 29 Mei lalu.

Stephanie turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah selesai menjalani hukuman penjara untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan fakta kes, pada 4 Jun 2019, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menerima satu surat rasmi daripada Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Kota Kinabalu berhubung kad pengenalan digunakan tertuduh yang disyaki palsu.

Ketika itu tertuduh berdepan urusan kebankrapan di Jabatan Insolvensi.

Susulan daripada surat rasmi itu, Bahagian Kad Pengenalan JPN Kota Kinabalu akhirnya berjaya menahan tertuduh pada jam 11 pagi, 29 Mei 2024.

Penahanan itu dibuat selepas wanita terbabit disyaki memiliki kad pengenalan bertaraf warganegara bernombor 760515-12-6246 atas nama Haninah Tanis yang palsu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Faizal Tahir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *