PPM Rampas Rokok Seludup Bernilai Lebih RM100,000

Semua barang rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya merampas 126,360 batang rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di Taman Permata, Jalan Sibuga Jaya, Batu 8, di sini, semalam.

ADVERTISEMENT

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, pasukan serbuan membongkar kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai yang menjadikan sebuah kereta sebagai ‘stor’ penyimpanan barang berkenaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi berkenaan dilakukan menerusi Op Taring Landai Khas.

Katanya, pasukan operasi membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang disyaki dijadikan sebagai tempat simpanan rokok tidak bercukai.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan dalam keadaan tidak berkunci dan selepas dibuka menemukan beberapa plastik yang berisi rokok tidak bercukai pelbagai jenama.

“Kenderaan serta rokok berkenaan dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Ahmad berkata, rampasan itu dilakukan selepas mendapati barangan disyaki tidak bercukai dan diseludup masuk dari negara jiran.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik kenderaan berkenaan dan anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM122,553.

“Rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Sandakan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *