22 Rumah Musnah Terbakar Di Sandakan

Pasukan bomba menjalankan operasi dan pemeriksaan di lokasi kejadian.

SANDAKAN: Lebih 100 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 22 rumah musnah dalam kebakaran di Batu 3, berhampiran Kiriman Tung Ma, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.07 petang.

Katanya, sepasukan 34 anggota dan pegawai bersama dua jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak dan sudah memusnahkan beberapa buah rumah jenis tidak kekal.

“Operasi pemadaman segera dilakukan dengan menggunakan dua aliran dan empat pancutan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, kebakaran membabitkan 22 rumah dan hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.42 petang.

“Unit Forensik Kebakaran akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *