Kedai Makan Di Kalabakan Terbakar, Seorang Lelaki Melecur

Foto tular di media sosial.

KALABAKAN: Seorang lelaki, Sutrisno Suhario, 39 tahun melecur dalam kebakaran di sebuah restoran makanan berhampiran kawasan perhutanan Tibow Kalabakan di Jalan Pulut-Kalabakan, di sini, hari ini.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.36 pagi.

Menurut kenyataan itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin bersama sepasukan anggota termasuk pegawai serta jentera dari BBP Tawau dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan digerakkan ke lokasi kejadian.

Perjalanan mengambil masa hampir tiga jam bergegas ke kawasan insiden itu yang terletak sejauh 171 kilometer dari BBP Tawau.

“Kebakaran membabitkan sebuah kedai makan jenis tidak kekal terbakar 90 peratus dan terdapat seorang mangsa melecur di bahagian tangan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Umas oleh orang awan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Turut terbakar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu.

PGO Sabah mengalami kesukaran mendapatkan maklumat kebakaran disebabkan tiada litupan girn dan talian telefon di lokasi.

“Komander operasi telah mengarahkan anggota bomba membuat pemadaman menggunakan 1 buah hose reel dan dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela Kalabakan menggunakan sumber air terbuka seterusnya membentang satu aliran hos kira-kira 120 meter ke lokasi kejadian,” katanya lagi.

Operasi terkawal pada 3.25 petang dan operasi tamat 12 minit kemudian, punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba.

Terdahulu, kejadian itu tular selepas beberapa pengguna jalan raya memuat naik klip video memaparkan kejadian kebakaran berkenaan.

Restoran terbabit adalah lokasi persinggahan pengguna jalan raya yang melalui jalan Kota Kinabalu, Keningau dan Tawau.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *