Dimasak Hingga 7 Jam, Buras Hidangan Wajib Masyarakat Bugis Pada Aidilfitri

Buras wajib ada sebagai hidangan utama keluarga masyarakat berketurunan Bugis setiap kali meraikan hari raya.

TAWAU: Bagi masyarakat Bugis di sini, sambutan Aidilfitri tidak lengkap tanpa hidangan burasak atau dipanggil buras, iaitu sejenis makanan yang berasaskan beras.

Meskipun dilihat seperti mudah dibuat, sebenarnya beras yang diadun bersama santan dan dibungkus dalam daun pisang muda itu memerlukan waktu yang lama untuk dimasak iaitu lebih tujuh jam.

Nurul Fazilah Baktiar, 20, yang mempelajari cara membuat makanan itu daripada neneknya sejak kecil lagi berkata buras wajib ada sebagai hidangan utama keluarga serta tetamu setiap kali meraikan hari raya.

“Buras sedap dimakan bersama masakan Bugis yang lain iaitu ayam masak palekko, ayam likku (lengkuas), selain ayam masak merah … buras juga dilengkapi dengan masakan tumbuk (pulut),” kata pelajar Universiti Malaysia Sabah itu kepada Bernama.

Nurul Fazilah berkata keluarganya turut menerima tempahan membuat buras untuk Aidilfitri sejak 10 tahun lepas, dan bagi tahun ini lebih 2,000 ikat buras (satu ikat dua keping buras) ditempah orang ramai yang dijual pada harga RM1.50 seikat.

Menceritakan proses pembuatan masakan tradisi masyarakat Bugis itu, Nurul Fazilah berkata santan kelapa dimasak sehingga pecah minyak, kemudian diadun bersama beras yang sudah dicuci sehingga santan kering, sebelum diletakkan pada daun pisang muda yang dibungkus empat lapisan berbentuk segi empat tepat dan diikat dengan tali.

“Selepas itu, barulah buras direbus selama lebih tujuh jam menggunakan dapur kayu dengan api perlu sentiasa dikawal dan air mencukupi … proses yang banyak ini menjadikan pembuatan buras agak rumit.

“Bagaimanapun, buras yang dimasak begitu lama menggunakan dapur kayu menjadikan makanan berkenaan beraroma wangi, enak dan berlemak serta teksturnya lebih lembut. Malah, ia juga tahan lama iaitu seminggu jika disimpan di dalam peti ais,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Fazilah berharap perniagaan buras yang diusahakan bersama keluarganya itu dapat dikenali dan berkembang sehingga luar Tawau.

“Selain Aidilfitri, kami juga terima tempahan untuk Aidiladha dan menghantar buras ke pasar untuk dijual. Setakat ini, kami ada terima tempahan buras daripada penduduk Tawau yang ingin dibawa ke Semenanjung dan mereka juga mengakui buras saya memang tahan lama hingga seminggu,” katanya.

Tahun ini, burasak merupakan antara 10 jenis hidangan makanan diwartakan sebagai makanan warisan negara dalam Pengisytiharan Objek Warisan 2024. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *