Google Salah Lagi Lapor Nilai Ringgit, Kata BNM

BNM berkata, pelaporan tidak tepat tukaran wang boleh mengakibatkan implikasi serius terhadap pasaran kewangan.

KUALA LUMPUR : Bank Negara Malaysia (BNM) buat kali kedua menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit 4.98 berbanding dolar Amerika Syarikat diterbitkan Google semalam.

Menurut kenyataan, sebaliknya kadar tukaran ringgit pada 15 Mac berada pada 4.7015 pada 9 pagi dan 4.7045 pada 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti diterbitkan dalam laman web BNM.

“Insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun 2024. BNM telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Feb 2024.

“Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat ini berlaku,” menurut kenyataan itu.

BNM berkata, isu berulang itu telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu.

Bank pusat turut menasihatkan orang ramai merujuk data rasmi, termasuk data daripada BNM.

“Orang ramai juga perlu mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit,” katanya.

Katanya, kadar pertukaran ialah data yang peka pasaran dan sebarang laporan yang tidak tepat serta penyebaran data yang tidak disahkan boleh mengakibatkan implikasi serius terhadap pasaran kewangan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *