Suami Isteri Ditahan Jual Senapang Angin, Peluru Dan Rokok Tidak Bercukai

Polis Sabah menumpaskan kegiatan menjual senapang angin, peluru, minuman keras serta rokok tidak bercukai selepas menahan suami isteri dalam dua serbuan di Nabawan, di sini, semalam.

KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan kegiatan menjual senapang angin, peluru, minuman keras serta rokok tidak bercukai selepas menahan suami isteri dalam dua serbuan di Nabawan, di sini, semalam.

Suspek wanita berusia 40 tahun ditahan dalam serbuan di rumah tidak bernombor di Kampung Lima Lumintok, manakala suaminya berusia 33 tahun ditahan di kedai runcit di Kampung Sarikan Jalan Tawau – Keningau, Nabawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, serbuan Op Laras dan Op Kontraban dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, menerusi serbuan dijalankan secara serentak itu, polis merampas enam senapang angin dengan pelbagai jenama.

“Turut dirampas ratusan peluru pelbagai jenis dan beberapa peralatan senapang angin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai minuman keras dan rokok yang tiada cukai kastam.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM60,000.

“Polis masih meneruskan siasatan termasuk mengenal pasti sumber utama senapang angin milik suami isteri warga tempatan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *