Imigresen Sabah Hantar Pulang 1,773 Pendatang Warga Filipina Tahun Ini

Pendatang asing tanpa izin (PATI) menaiki kapal yang membawa mereka ke negara asal pada program pemindahan warganegara Filipina di Pelabuhan Sandakan hari ini. Seramai 278 PATI dari depot tahanan imigresen Sandakan dan Papar dihantar ke negara asal setelah ditahan di depot imigresen akibat melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 159/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1993.

SANDAKAN : Seramai 278 pendatang tanpa izin warga Filipina dihantar pulang ke negara mereka hari ini, menjadikan 1,773 pendatang dari negara berkenaan dihantar pulang tahun ini sama ada melalui laut mahupun udara.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata tiga siri menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin telah dilaksanakan tahun ini.

“Tahanan yang terlibat pada kali ini adalah tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Sandakan seramai 121 orang dan Depot Imigresen Papar seramai 157 orang.

“Mereka dihantar pulang dengan pengangkutan laut (feri) dari Pelabuhan Sandakan petang ini,” katanya kepada pemberita semasa operasi penghantaran pulang itu di pelabuhan berkenaan di sini hari ini.

Menurut SH Sitti Saleha kumpulan yang dihantar pulang kali ini melibatkan 159 lelaki, 79 wanita dan 40 kanak-kanak.

Mengenai penghantaran pulang pendatang dari Indonesia, beliau memahami negara itu akan menghadapi Pemilihan Umum Presiden pada bulan ini, namun berharap pihak kedutaan Indonesia terus memberi kerjasama dalam pengeluaran dokumen perjalanan bagi warganya yang masih ditahan di Sabah iaitu seramai 757 orang. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *