Empat Bas Persiaran Berhawa Dingin Untuk Penghantaran Pulang Pendatang Di Sabah

Jabatan Imigresen Negeri Sabah menjalankan proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin ke negara masing-masing dari Depot Imigresen Papar ke Pelabuhan Sandakan menggunakan empat bas, hari ini. –

PAPAR, 7 Feb : Perjalanan yang selesa, itulah yang boleh digambarkan untuk proses penghantaran pulang 157 pendatang dari Depot Imigresen Papar ke Pelabuhan Sandakan pagi ini, menggunakan empat buah bas persiaran dengan penyaman udara yang selesa.

Tinjauan Bernama pagi ini di depoh tersebut mendapati, proses dokumentasi penghantaran itu bermula 10 malam tadi berjalan lancar, sebelum bertolak pukul 6 pagi tadi untuk perjalanan kira-kira 400 kilometer yang mengambil masa lapan jam, sebelum mereka dijadual menaiki kapal untuk pulang ke negara masing-masing.

Proses penghantaran berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, manakala kawalan keselamatan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengiringi bas-bas berkenaan, selain anggota Jabatan Imigresen serta pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan.

Depot Imigresen Papar terletak kira-kira 45 kilometer arah Selatan dari Kota Kinabalu, mampu menempatkan kira-kira 2,000 tahanan satu-satu masa, dan tahanan terdiri daripada pelbagai warganegara antaranya termasuk Filipina, Indonesia dan Pakistan, yang melanggar peraturan imigresen.

Tempoh penahanan bergantung kepada proses dokumentasi yang dikeluarkan oleh negara asal, sebelum mereka dihantar pulang ke negara masing-masing.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, dijadual mengadakan sidang media di Pelabuhan Sandakan lewat petang ini untuk mengulas lanjut proses penghantaran tersebut. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *