Sabah Sasar Turun Hingga 80% Miskin Tegar Tahun Ini

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

TUARAN: Kerajaan Sabah menyasarkan untuk menurunkan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus kadar miskin tegar yang direkodkan di negeri itu menjelang penghujung tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sebanyak 22,510 ketua isi rumah (KIR) dikategorikan sebagai miskin tegar dalam senarai sistem e-Kasih negeri itu setakat ini.

Katanya, Sabah optimis sasaran itu mampu dicapai menerusi beberapa inisiatif diperkenalkan termasuk memberi bantuan modal perniagaan dan menyediakan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mampu milik kepada golongan terbabit.

“Selain itu, kira akan beri peluang pekerjaan kepada anak-anak miskin tegar. Nama miskin tegar ini telah diselaraskan oleh Sekretariat SMJ dan kita akan hantar nama ini kepada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan kilang-kilang supaya mereka diberi peluang pekerjaan,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan surat penyertaan agensi pemberi bantuan bagi program rintis menoktahkan kadar miskin tegar di Tuaran dan pelantikan pekerja inisiatif MySMJ Kerja, di sini hari ini.

Selain menyalurkan bantuan tunai kepada golongan sasar, Hajiji berkata kerajaan Sabah melihat usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak miskin tegar sebagai antara kaedah holistik membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Kita bagi keutamaan (peluang pekerjaan) kepada anak-anak miskin tegar supaya mereka diambil bekerja dalam agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan dan pelabur yang datang ke Sabah.

“Menjadi satu kewajipan kepada mereka untuk mengambil bekerja anak-anak miskin tegar daripada senarai e-Kasih,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat SMJ dalam kenyataannya memaklumkan Sabah merekodkan sebanyak 101,113 ahli isi rumah miskin tegar dalam sistem e-Kasih.

Katanya, sistem MySMJ Profiling dibina bertujuan menyimpan dan menganalisis data serta padanan bantuan bagi gerak kerja profiling ketua isi rumah dan ahli isi rumah berdasarkan e-Kasih, dengan Tuaran dipilih sebagai daerah rintis bagi melaksanakan sistem itu pada November tahun lepas.

Sekretariat itu turut melihat program tersebut sebagai satu manifestasi kerjasama semua agensi kerajaan khususnya yang terlibat dalam menyalurkan bantuan kepada golongan miskin tegar di Tuaran ke arah meningkatkan ekonomi seterusnya mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Pelaksanaan sistem MySMJ Profiling itu sedang berjalan di seluruh daerah dan kerangka kerja bagi mempercepatkan program menoktahkan miskin tegar juga akan diperluaskan di seluruh negeri. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *